Pages - Menu

Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Wednesday, March 16, 2016

Resepi Kuih Lepat Ubi

Assalamualaikum.

Tadi check post2 lama dari belogsheila. Rak sangka, resepi kek pisang tanpa telur paling tinggi jumlah viewer. Ramai yang nak buat kek pisang agaknya. Hihi...

Sheila pun tak sangka gak. Kek pisang yang Sheila buat hari tu, rasa sedap bangat. Rupa kek pisang tu pun cantik je. Dapat pujian dari officemate sheila. Hihi... kembang hati ni.

Kali ni Sheila nak share Resepi Kuih Lepat Ubi.

Kejadian ni berlaku 2 bulan lepas. Masa Sheila balik kampung di Johor cuti raya cina. Ayah ada beli ubi, banyak gak. Separuh Sheila dah rebus malam tu, pekena dengan sambal tumis ikan bilis air tangan mak. Sedapnya!

Lagi separuh ubi ubi tu nak buat apa ye?

Tetiba terlintas kat kepala ni nak buat lepat. Ok jugakkan. Bahan2 semua ada kat rumah. Mula2 mak kata nak buat petang, tapi Sheila dengan adik nak buat cepat sikit, sebab adik nak balik seremban maghrib tu. Takut tak sempat pulak kalau tunggu mak balik dari balairaya.

Semangat sheila google resepi Lepat ubi.

Resepi Kuih Lepat Ubi

Bahan2 nya:

5 cawan Ubi siap blend (kalau rajin korang sagat, kalau tak rajin korang potong kecik2 dan blend.. cara nak cepat, haha!!!)
2 cawan Kelapa parut
1/2 cawan Santan pekat
1 1/2 cawan gula pasir
5 sb Tepung ubi
1 1/4 cawan Gula merah (masakkan dulu dengan 1/2 cawan air dan tapis)
1 sk Esen vanila
Secubit garam
Daun pisang untuk balut.

Cara buat kuih lepat ubi ni tak susah sangat pun. Ok la untuk first timer macam Sheila dengan adik nak buat.

1. Potong kecik2 ubi dan blend.
Tapis ubinya. Air tapis tu jangan buang dulu. Nak ambil mendakan ubi tadi.
Campurkan ubi yang dah tapis dengan mendakan ubi. Gaul sebati.
2. Masukkan kelapa parut, santan, gula pasir, tepung ubi, air gula merah, esen vanila dan garam. Gaul sebati semua. Hampir siap da tu.

3. Potong daun pisang, layurkan dan lap.

4. Masak air untuk kukusan.
5. Mula membungkus kuih lepat ubi. Caranya masukkan 2 sudu besar campuran ubi tadi, dan lipat. Cara lipat ni tak tahu nak ajar macam mana. Korang imagine je lah kuih lepat kat kedai ye. Haha...


6. Habis bungkus semua campuran ubi tadi. Bolehlah kukus selama 40 minit dengan api sederhana.

7. Sejukkan dan dah boleh hidang.

Yeah! Berjaya membuat Kuih Lepat Ubi. Boleh buat lagi lepas ni.



Sunday, February 7, 2016

Minum petang dengan Tahu Terbalik

Assalamualaikum.

Hari ni nak berkongsi menu baru. Baru 1st time Sheila dengar, tengok dan makan. Tapi tak tahu lah kalau korang dah pernah dengar, tengok dan rasa.

TAHU TERBALIK

Korang pernah dengar tak? Pernah makan? Sheila 1st time tau. Kngah bawa balik kampung. Adik ipar dia buat. Sheila just tolong goreng je.

Resepi ni Sheila dapat dari kngah. Sheila belum buat lagi. Tapi nak kongsi kat sini untuk rujukan Sheila bila2 nak buat nanti.

Bahan2 untuk membuat Tahu Terbalik
Tahu untuk buat mee rebus
Tahu biasa
Ayam rebus dan hancur2 kan
Daun sup
Bawang merah
Telur

Cara2 buat Tahu Terbalik
Gunting tahu yang untuk mee rebus tu dan terbalikkan
Tahu biasa di campur dengan bawang merah, ayam hancur, daun sup dan telur. Boleh stim kan semua campuran tadi.
Masukkan dalam tahu yang dah terbalik tadi.
Siap!
Boleh goreng terus atau bekukan untuk dijadikan frozen.


Siap di goreng. Rangup. Cicah dengan sambal kicap. Huh... Telan air liur Sheila teringat rasa nya. Memang sedap! Kena cuba buat sendiri ni.

P/s: Gambar tak ada. Ada ambil tapi tak jumpa pulak bila nak share kat sini.

Monday, December 14, 2015

Resepi kek pisang kukus tanpa telur

Assalamualaikum.

Alhamdulillah...

Selangor menang bola sepak Piala Malaysia. Dan Sheila sebagai seorang rakyat Johor yang bekerja di Selangor, dan isteri kepada rakyat Selangor berpeluang merasai cuti peristiwa hari ni.

Yeah!!! Cuti!!! Itu yang korang suka kan.

Menang bola pun suka gak. Sebab dah 6 tahun menetap kat Selangor ni, terasa gak la tempias happy menang bola. En.abang? Dia memang happy giler la. Tak sia2 dia beli jersi Selangor Misi 33. Memang misi 33 tercapai kali ni. Next time kalau Selangor masuk final lagi, kena lah beli jersi Misi 34 pulak.

Dan cuti peristiwa yang Dato Seri Azmin bagi ni, Sheila tak men sia2 kan. Dengan jayanya Sheila mencuba buat kek pisang.

Resepi kek pisang kukus tanpa telur

Pisang ni mertua bagi minggu lepas. Ingatkan 2 sisir je, rupanya ada 1 lagi en.abang perap dalam plastik sebab belum masak lagi. Sheila baru perasaan sabtu lepas. Dah nak balik rumah mertua semula da. So pisang nya masuk peti sejuk je la.

Dok fikir menu nak medang, ingat nak buat cekodok. Tapi macam dah biasa buat. Tu yang menggoogle resepi apam pisang. Terjumpa lah resepi kek pisang kukus tanpa telur.

Resepi kek pisang kukus tanpa telur

Sheila memang cari resepi yang tak guna telur, sebab tak ada mixer nak pukul telur sampai kembang. Cari yang tanpa telur, senang je buatnya.

Bahan2 semua dah ada kat rumah kecuali minyak jagung. So sheila tukar dengan marjerin yang di cairkan.

Resepi kek pisang kukus tanpa telur

1/2 cawan pisang yang di lenyek dan di blend (anggaran 6-7 biji rasanya)
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
Setengah cawan gula (ni sheila blend bagi jadi macam gula kastor)
Secubit garam
1/2 cawan minyak jagung (sheila tukar pada marjerin yang dicairkan

1. Campurkan bahan kering iaitu teping gandum, baking powder, soda bikarbonat, gula dan garam.

2. Masukkan pisang yang dah di blend. Gaul dan gaul.

3. Masukkan marjerin yang dah dicairkan. Gaul, gaul sampai sebati.

4. Masukkan dalam loyang atau bekas yang bersesuaian.

5. Bila air kukus dah didih, so boleh lah kukus anggaran masa dalam setengah jam.

Tadaaa... siap hidang.


Sunday, September 6, 2015

Minum petang dengan Popiah Bling Bling

Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu :)

Petang2 hujung minggu ni best kan kalau dapat berkumpul, duduk semeja, berborak ramai2 sambil pekena teh/kopi o panas. Huh... dapat pulak makan Popiah Bling Bling.

Aduh... sedapnya!

Resepi Popiah Bling Bling



Gambar yang korang tengok kat atas tu hasil air tangan kawan Sheila. Hihi... bukan Sheila yang buat ye. Kak Zana menjamu mata Sheila kat facebook hari tu. Saja Sheila share kat sini. Kalau bila2 nak buat boleh refer kat sini je.



* kesemua gambar Popiah Bling Bling ni dari Kak zana. Sheila dah mintak izin dia ye nak tepek kat sini.

Friday, July 24, 2015

Kolang kaling ke buah kabung?

Assalamualaikum...

Haha...Dah bersawang dah belogsheila ni. Kesiannya! Apa lah nak jadik kat tuan punya belog ni. Nak post pon malas... Haha...

Ok... Nak merajinkan diri semula.

Banyak story yang Sheila nak share. Tapi selalu je penyakit M tu datang.

Ok.. Ok.. Laju2 taip. Takut penyakit M datang lagi.

Opss... Sebelum tu

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

Dah raya ke-9 baru nak berucap eh...

Ok... Berbalik cerita asal yang Sheila nak share.

Pernah dengar tak kuih kolang kaling?
Ni sebutan bagi orang2 jawa.

Orang2 melayu panggil buah kabung.

Alkisahnya, raya hari tu en.husband dok bercerita kuih kolang kaling, kuih kolang kaling. Masa dia kecik2 selalu embah dia buat time raya. 

Huh... Sheila pun excited la nak tahu rupa kuih kolang kaling ni.

Sampai le ke rumah makcik husband, ada kuih kolang kaling tu. Bila Sheila tengok je rupa kuih kolang kaling tu, baru Sheila ingat masa Sheila kecik2 g beraya dulu pun ada kuih kolang kaling ni. Tapi Sheila tak panggil la kolang kaling.

Then, apa lagi teruslah bertanya kat en.google. Rupa2nya kuih kolang kaling ni buah kabung. Bukan sejenis kuih ye. Sepatutnya di kategorikan sebagai jeruk.

Jeruk?

Boleh la kot. Sebab di rendam dalam air. Macam jeruk la kan. Haha...



See! Jeruk la kan. Jeruk buah kabung.

So, raya tahun depan nak mencari buah kabung. Nak cuba buat kolang kaling. Hihi...

Ok. Settle pon post kali ni. Laju je menaip sebab nak terus publish. Haha...

Selamat berkolang kaling ye :)

Sunday, June 14, 2015

Resepi Kuih Ketayap gebu

#kongsiresepi

Hari ni Sheila nak share 1 resepi kuih tradisional, namanya Kuih Ketayap. Kuih Ketayap ni bukan Sheila yang buat. Ex-offimates yang buat. Dia share kat facebook. Geram Sheila tengok. Gebu-gebu...

Sheila pulak share kat sini. Senang. Kalau bila2 terasa nak buat kuih Ketayap ni, Sheila godek je la kat belogsheila ni.

Bahan2 untuk membuat Kuih Ketayap yang gebu:
1cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air
Segenggam kelapa parut ( tak letak pun tak pe or leh ganti ngan santan cuma kurang kan sukatan air kepada 1 cawan )
Telur sebiji
Daun pandan
1 sudu kecik garam
1 sudu besar minyak masak
Pewarna hijau

Cara nak buat Kuih Ketayap ni mudah je,
Blender semua bahan di atas kemudian tapis, lenser minyak sikit kemudian letak adunan buat macam lempeng tapi lebih nipis buat sampai habis.

Selamat mencuba!


Note: Cara buat inti kelapa tu, member tak share pulak. Sebabnya tu extra inti kelapa dari dia buat roti / bun. Nanti Sheila risik2 resepi kat dia lagi.

Sunday, May 24, 2015

Resepi Buttermilk Chicken

Hujung-hujung minggu ni terasa nak share 1 resepi ni. Dah lama sebenarnya Sheila draft. Tapi tak publish gak. Hari baru berpeluang nak publish.

Actually resepi ni dari adik saya. Katanya dia masak special untuk suami tercinta. Suami dia ni suka makan ayam. Ayam, ayam, ayam... hari2 lauk ayam. Lauk ikan memang jarang2 le dia nak merasa. Sayang suami le katakan, ikutkan je la.

So, untuk bagi kelainan resepi ayam. Adik pun buat lah resepi special ni, Buttermilk Chicken.

Tengok gambar pun Sheila dah teruja. Tapi tak berkesempatan nak try buat. Sebab tak cukup bahan. So, Sheila share kat sini dulu. Kot kot bila2 nak buat, boleh refer kat sini.

#resepi : Buttermilk Chicken


Bahan-bahannya:

Ayam bahgian dada/isi
Tepung goreng ayam
Serbuk kunyit +garam+serbuk kari
Telur
Daun kari
Buttercup/majerin
Susu cair
Bawang putih
Cili sikit
Garam

Cara membuat Buttermilk Chicken:

1. Goreng ayam
Mula-mula perap ayam dengan serbuk kunyit +garam+serbuk kari tu dulu.
Pastu goreng ayam tu mcm goreng ayam kfc pakai tepung goreng ayam. Dan tepikan..

2. Buttermilk
Cairkan butter anggaran 2 sudu
Dah cair masukkan bawang tumis kan. pastu letak susu cair ikut kepekatan mana yang nak. Kacau2 pastu masukkan daun kari. Masak smpai pekat2..

Dah siap masak buttermilk campurkan dengan ayam tadi... Siap!

Sedap!!!

Wednesday, February 4, 2015

Roti bunga

Siapa kat sini yang suka buat roti sendiri?

Sheila suka. Tapi tak ada lah power sangat meroti ni. Untuk cik abang dengan Nia makan boleh lah. Hihi... Tapi tetap lembut jugak macam roti kat kedai.

Haa... Pada yang suka meroti, ni Sheila nak share cara bentukkan roti yang sangat-sangat kreatif.

Kreatif kan

Ish... Kalau roti macam ni depan mata, tak tau nak makan ke tidak. Sayang nak makan. Cantik sangat.

Saturday, January 31, 2015

Resepi kuih keria

Yeah.. hari ni hari Sabtu..

Tapi Sheila kerja :(

Tapi tak apa. Sebelum memulakan kerja kita baca bismillah dulu. Lepas tu buat 1 post kat blog... hihi...

Ini cerita 2 minggu lepas. Masa beli barang-barang dapur, ternampak pulak keledek. Terus cik abang kata nak beli.

Ha.. Apa lah yang terlintas kat kepala dia tu?

Rupanya nak minta isteri dia yang comel ni buat kuih keria. Haha... Sheila ni tak reti sangat buat kuih. Tapi bila dah duduk rumah sendiri ni, explore la macam-macam. Tapi dont worry. Sekarang kan semua hujung jari...

Tada... ni lah hasilnya...


Nak buat kuih keria ni tak ada lah susah sangat. Senang lah, walaupun Sheila ni first timer.

Bahan-bahan nak buat kuih keria:

1. Mestilah keledek. Keledek oren boleh, keledek purple pun boleh.
2. Garam
2. Tepung gandum
3. Ada yang campur tepung ubi sesudu. (Saya tak letak, sebab tak ada stok tepung ubi kat dapur)~ orang kata ni untuk melembutkan lagi kuih keria korang tu.
4. Sesudu besar marjerin. (Yang ni saya pepandai tambah.. hihi)
5. Gula dan air untuk sira.

Proses pembuatan kuih keria:

1. Rebus keledek sehingga lembut. Jangan lupa masukkan garam sesudu ye.

2. Bila keledek dah empuk, buang air rebusan dan biarkan keledek sejuk.

3. Lenyek keledek. Sheila guna lesung je.. haha.. Senang..


4. Masukkan marjerin sesudu.

5. Masukkan tepung gandum sikit demi sedikit.

6. Uli sehingga tepung lekat di tangan.

7. Bentukkan seperti gelang. Opsss..  sapu dulu tapak tangan dengan tepung untuk elakkan bancuhan lekat di tangan.


8. Bila dah siap semua, bolehlah goreng ye.

9. Untuk sira, masukkan 3 sudu gula dan 2 sudu air. Masak sehingga keluar buih. Kemudian masukkan terus keria yang dah goreng tadi. Gaul gaul sampai gula kering.

10. Siap untuk di makan.

Saturday, January 3, 2015

Siakap stim halia yang sedap

Haha.. title post puji diri sendiri!

Hari ni pergi beli barang-barang basah sikit. Terada pula ikan siakap. Apa lagi en.suami terus je beli. Teringin la tu... 
Haha...

Nak masak apa ye?

En.suami suruh masak siakap 3 rasa. Tapi banyak pula bahan yang tak ada. Nenas tak ada. So memang tak lengkap pula nanti siakap 3 rasa tu.

Jadi menu pilihan seterusnya...

Siakap stim halia

Habis dah saya google, semua resepi siakap stim halia ada jus limau nipis. Tapi dalam peti tu tak ada stok limau nipis pula. Jadi kena fikir cara masak stim halia tanpa menggunakan jus limau nipis.

Fikir punya fikir, saya pun try cara masak stim halia guna asam jawa. Janji ada rasa masam-masam sikit.

Meh saya share cara masak siakap stim halia guna asam jawa. Tak adalah susah sangat pun. Masuk je semua bahan-bahan, kukus...

Bahan-bahan siakap stim halia:
Ikan siakap
Halia
Bawang besar
Bawang putih
Cili padi
Lobak
Sos tiram
Air asam jawa setengah cawan je (tak payah pekat sangat)
Garam dan gula secukup rasa

Cara masak siakap stim halia:
Siang ikan siakap dulu ye. Kalau malas, boleh suruh orang kedai tu siangkan siap-siap.
Hiris halia, bawang besar, bawang putih, lobak.
Cili padi ketukkan saja.
Masukkan semua bahan tadi, sos tiram, air asam jawa, gula dan garam dalam loyang.
Gaul sebati dan perapkan sekejap.
Sediakan periuk kukus, bila dah didih bolehlah kukus ikan siakap tu ye.
Kukus lebih kurang 20-25 minit.
Ikan siakap stim halia sedia untuk dimakan.


Nyum.. Nyum.. En.suami puji sedap macam kat kedai. Huh.. Bangganya!

Wednesday, December 24, 2014

Resepi Sambal Udang senang dan sedap

Pergh.. cerita pasal sambal udang ni buat saya rasa lapar pulak. Memang sedap kan. Lagi-lagi kalau dapat makan dengan nasi lemak panas-panas. Memang terangkat habis.

Actually ni menu saya 2 hari lepas. Cik abang beli udang. Teringin nak makan le tu. Kalau makan kat luar, confirm harga mahal.

Oleh kerana saya ni isteri bekerjaya (cewah), kalau boleh saya nak cari kaedah memasak sambal udang yang paling senang, ringkas dan sedap. 

Kalau korang pun sama macam saya, meh cuba resepi ni. Campak- campak je. Senang! Sedap!

Bahan-bahan untuk Sambal Udang senang dan sedap:
  • Udang
  • Cili kisar
  • (saya memang dah prepare awal. Senang nak masak bila-bila masa je)
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Belacan
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Minyak


Cara membuat Sambal Udang yang senang dan sedap:
  1. Panaskan minyak.
  2. Masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak dan cili tu masak ye. Lama sikit pn tak apa.
  3. Masukkan belacan dan bawang putih. Kacau sebati.
  4. Masukkan bawang besar. Biar sampa hampir layu.
  5. Masukkan air sedikit. Ikut korang kalau nak berkuah, boleh air lebih.
  6. Masukkan garam dan gula. 
  7. Dah mendidih, baru masukkan udang. Udang tak perlu masak terlalu lama.
  8. Try rasa dulu. Kalau dah rasa sedap, boleh matikan api dan hidang.



Nyum nyum... Makan dengan nasi panas-panas mesti sedap giler kan.

Selamat mencuba!

Saturday, December 20, 2014

Cekodok pisang rangup

Sarap apa tadi?

Hari ni saya buat cekodok pisang. Mentua saya bagi pisang hari tu, tapi masing-masing tak makan. Last-last pisang tu lembik. So bila dah lembik, buat cekodok  pisang lah jawabnya.

Cekodok pisang kali ni saya buat special sikit. Hihi.. Penambahan satu bahan. Saya ada baca kat satu blog ni. Lupa pulak yang mana. Kalau ingat nanti saya bagi link ye.

Selalu kalau korang buat cekodok pisang ada masukkan soda bikarbonat tak? Kalau mentua saya ada. Kalau style mak saya pula tak ada. Memang pure rasa pisang tu.

Yang ni pulak style baru buat cekodok pisang.

Korang tak perlu masukkan soda bikarbonat, tapi tukarkan kepada margerin. Bukan hanya ia kembung dengan cantik, tetapi rangup. Yang penting cekodok pisang ni tak serap banyak minyak.


Bahan-bahan untuk Cekodok Pisang Rangup:

Pisang - anggaran 6 biji
Tepung setengah cawan
Marjerin 2 sudu
Gula 3-4 sudu
Minyak untuk goreng tenggelam.

Caranya:

Lenyekkan pisang dengan menggunakan tangan.
Masukkan marjerin dan gula. Gaul lagi.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Biarkan sekejap anggaran setengah jam untuk mencairkan gula. (Lagi cantik kalau di biarkan semalaman)
Panaskan minyak dan goreng. Pastikan semasa goreng cekodok pisang tu tenggelam. Baru boleh dapat cekodok kembung.

Friday, December 19, 2014

Yeah!! Roti panas-panas dari oven.

Tercapai pun hasrat saya nak membuat rroti. Yeah!!! Saya ni bukannya pandai sangat baking-baking ni. Saja suka-suka je. 

So hari ni lapang sikit. Dapatlah saya membuat roti. Resepi ni saya google dari sebelum bersalin lagi. Niat nak meroti ni dah lama. Cuma asyik terbantut je.

Dan malam ni dapatlah kami supper roti yang panas-panas dari oven.

Adik saya kata rupa roti ni scary. Haha... Tak kisahlah. Janji rasanya sedap. Nyum nyum... 

Resepi roti simple
C&P dari kak zalinzarina.

250gm tepung roti / high protein
50gm margerin (saya guna marjerin Pelangi)
50gm gula kastor
1 sk yis kering
1/2 sk bread improver
1 sk tepung susu / susu pekat
1/2 sk garam halus
1 biji telur gred B
105 ml/gm air suam (kalau uli guna mixer, guna air sejuk ye)

Cara-cara membuat roti:

Masukkan semua bahan-bahan dalam 1 bekas kecuali air, yis dan gula.
Sebelum tu kita kena bancuh air suam dan gula. Lepas tu baru letak yis. Kacau dan biar hingga berbuih..
Pastu kita masukkan air bancuhan gula dan yis dalam bekas tadi. Gaul rata. Kemudian kita keluarkan dan uli kat atas dulang...kalau kat rumah ada meja aluminium atau meja marmar lagi senang uli kat atas tu aje..tapi kalau takde, uli atas dulang pun boleh juga... uli guna tangan lebih kurang 5 minit.
Pastu tutup dengan plastik. Biarkan selama 30 minit..
Lepas 30 minit, doh pun dah kembang..
Bulat-bulatkan doh...lumurkan tangan dengan sedikit tepung untuk bagi tak melekat sangat kat tangan dan nak bagi doh tu nampak licin.
Bentukkan roti mengikut citarasa dan kreativiti korang. Kalau nak letak inti atau hotdog pun boleh.
Dah siap bentukkan, boleh susun dalam loyang yang dah dilengserkan dengan margerin. Tutup loyang dan biarkan selama 45minit - 1 jam..
Untuk sapukan atas doh tu, guna 1 biji telur campurkan 2 sudu besar air atau susu segar.
Bila doh dah kembang baru kita sapukan bancuhan telur tadi.
Bakar selama 15 - 20 minit pada suhu 18 darjah celcius atau mengikut kesesuaian suhu oven masing-masing..
Bila dah keluarkan dari oven, kita terus sapukan dengan sedikit margerin untuk bagi nampak berkilat..
Kalau rasa taknak makan habis, kita boleh simpan masuk bekas atau masuk dalam plastik dan selotepkan... macam kat kedai tu kan... 

Selamat Mencuba :)



Sunday, December 7, 2014

Ikan cencaru di laut hitam

Ye ke ikan cencaru kat laut hitam?

Laut hitam? Ada ke? Saya pun tak tau...

Haha... Tajuk je gempak...

Sebenarnya nak share lauk Ikan Cencaru Masak Kicap je...

Biasalah hujung minggu, saya memang jarang ada di rumah. Kalau tak balik kampung di Tangkak, kami mesti balik ke Meru. Rumah mertua saya. Sebab dekatkan. So agak kerap kami balik sini.

Penuh jadual kondangan* mentua saya. Malam tadi saja ada 2 rumah. Siang ni ada lagi 3 rumah. Biasalah hujung tahun, ramailah yang busy nak mengawan* (hihi.. macam kasar je bahasa)...
Dan sebelum mentua saya keluar, sempatlah dia merasakan air tangannya yang sedap tu. Maka terhasillah Ikan Cencaru Masak Kicap.

Resepinya mudah saja. Potong, potong, potong dan campak. Orang yang tak pakar macam saya pun boleh buat. Apatah lagi korang yang dah tahap chef kan.


Bahan-bahan untuk resepi Ikan cencaru masak kicap:

Bawang besar
Bawang putih
Halia
Cili padi (pada yang nak pedas, boleh letak lebih ye)
Bunga lawang
Kicap manis Jalen
Saus manis ABC
Ikan cencaru (di salut kunyit dan garam untuk digoreng)
Garam secukup rasa
Minyak masak

Caranya;

Hiriskan bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi. Satukan dalam satu mangkuk bersama-sama dengan bunga lawang.
Goreng ikan cencaru yang dah di salut kunyit dan garam. Goreng sehingga masak dan garing. Ketepikan dalam pinggan berlainan.
Keluarkan lebihan minyak goreng ikan tadi.
Masukkan bawang, halia, cili dan bunga lawang. Biarkan sekejap sampai semuanya layu.
Masukkan saus manis ABC dan kicap manis Jalen.
Masukkan ikan cencaru yang dah di goreng.
Masukkan sedikit air bagi yang suka berkuah dan garam secukup rasa.
Biarkan ia masak. Cuba rasa sikit. Kalau dah sedap tu, boleh tutup api dan hidang.


Oklah.. Nak menjamu selera. Untuk korang saya jamu gambar ni... Sedapmya... Nyum Nyum Nyum!!!